Khamis, 11 Januari 2018 | 3:25pm
LAKARAN tatu yang viral di media sosial membawa kepada penahanan seorang warga emas dari Jepun, yang terbabit dalam pembunuhan 15 tahun lalu. - Foto AFP

Tatu 'perangkap' tuan

BANGKOK: Lakaran tatu yang viral di media sosial membawa kepada penahanan seorang warga emas dari Jepun, yang terbabit dalam pembunuhan 15 tahun lalu.

Shigeharu Shirai, 74, ditahan di wilayah Lopburi, 150 kilometer di utara Bangkok, semalam selepas lakaran tatu miliknya tersebar luas di media sosial.

Menurut polis, Shirai mengaku menyertai satu kumpulan Yakuza, dikenali sebagai Yamaguchi-gumi, namun menafikan terbabit melakukan pembunuhan itu.

Dia didakwa terbabit sebagai seorang daripada lapan anggota kumpulan kongsi gelap, yang membunuh seorang ketua kumpulan kongsi gelap lain pada tahun 2003.

Shirai berjaya melarikan diri ke Thailand pada tahun 2005, manakala tujuh lagi yang terbabit dalam jenayah itu berjaya ditahan polis.

Timbalan Ketua Polis Thailand, Wirachai Songmetta, berkata Shirai mengaku bahawa mangsa telah dibuli dan mungkin terdapat rancangan dalam kalangan kumpulan lain untuk membunuh beliau.

"Dia bagaimanapun menafikan terbabit membunuh ketua kumpulan kongsi gelap itu," katanya.

Cubaan untuk menghubungi Shirai atau peguamnya bagaimanapun tidak berjaya. - REUTERS

12471 dibaca
Berita Harian X