Sabtu, 7 Oktober 2017 | 10:28pm

58 pengunjung, pekerja sauna gay ditahan di Jakarta

JAKARTA: Polis Indonesia menahan 58 lelaki, termasuk beberapa warga asing dalam serbuan di sebuah sauna gay, kata pegawai hari ini.

Ia serbuan terbaru pihak berkuasa bagi menangani aktiviti itu di negara majoriti Islam itu.

Pada Jumaat lalu, polis menyerbu sebuah bangunan di sini, yang menempatkan sauna dan gimnasium selepas mereka menerima maklumat daripada orang awam bahawa ia digunakan sebagai tempat pelacuran.

"Kami menahan 51 pengunjung dan tujuh pekerja kerana didakwa menyediakan perkhidmatan pornografi," kata jurucakap Polis Jakarta, Argo Yuwono dalam satu kenyataan.

Enam warga asing antara yang ditahan, termasuk empat lelaki dari China dan masing-masing seorang dari Thailand serta Belanda.

Argo berkata, enam daripada mereka yang ditahan akan didakwa mengikut undang-undang antipornografi Indonesia yang mengenakan hukuman penjara setahun, jika sabit kesalahan. - AFP

646 dibaca
Berita Harian X