Selasa, 3 Oktober 2017 | 8:11pm
PERTEMUAN antara Kyaw Tint Swe (kiri) dan Mahmood Ali di Dhaka. - Foto AFP

Myanmar sedia terima semula pelarian Rohingya: Pegawai Bangladesh

DHAKA: Myanmar akan menimbang menerima semula pelarian Rohingya yang lari dari negara itu pada tahun sebelumnya, kata seorang pegawai kanan Bangladesh hari ini.

Hampir 600,000 Muslim Rohingya lari ke Bangladesh sejak keganasan meletus di Rakhine pada Oktober 2016, termasuk anggaran 507,000 yang tiba sejak lima minggu lalu.

Pada masa sama, Bangladesh juga menempatkan tambahan 300,000 Rohingya yang meninggalkan Rakhine susulan keganasan sebelumnya termasuk puluhan ribu yang datang sejak 1990-an.

Dalam mesyuarat dua hala pertama dengan pihak berkuasa Bangladesh sejak kebangkitan keganasan terbaharu bermula 25 Ogos lalu, seorang menteri Myanmar semalam berkata, kerajaannya bersedia menerima semula Rohingya.

Tiada butiran diberi ketika tawaran dibuat Kyaw Tint Swe dalam pertemuan di sini bersama Menteri Luar Bangladesh, Mahmood Ali.

Namun seorang pegawai kanan Bangladesh yang hadir dalam pertemuan itu berkata, Myanmar akan menerima hanya Rohingya yang meninggalkan negara itu pada tahun sebelumnya.

"Mandat mereka ialah, mempertimbangkan pelarian yang datang selepas Oktober dan Ogos lalu," katanya kepada AFP.

Pegawai itu berkata, Bangladesh tetap dengan pendirian menggesa kepulangan semua 900,000 pelarian Rohingya yang kini tinggal di rantau sempadan tenggara negara itu.

Katanya, pegawai Myanmar yang mengambil bahagian dalam mesyuarat di sini tidak 'mempunyai mandat' untuk membincangkan nasib pelarian Rohingya yang datang lebih awal.

Pemimpin awam Myanmar, Aung San Suu Kyi berkata bulan lalu, negaranya akan menerima semula pelarian 'disahkan', namun ramai terpaksa melarikan diri tanpa sebarang dokumen. -AFP

599 dibaca
Berita Harian X