Ahad, 1 Oktober 2017 | 1:20pm
PRESIDEN Filipina, Rodrigo Duterte. - Foto EPA

Duterte tolak beri kerjasama siasatan rasuah

MANILA: Presiden Rodrigo Duterte menegaskan tidak akan bekerjasama dengan siasatan khas antirasuah pendakwa raya mengenai dakwaan beliau mengumpul kekayaan secara salah.

Pendakwa raya pada minggu lalu, berkata ia menyiasat dakwaan ratusan juta peso dalam akaun bank Duterte yang gagal didedahkan seperti dikehendaki undang-undang.

Sambil berikrar tidak akan menyerah kepada pihak berkuasa, Duterte bertindak balas dengan menyelar pendakwa, menyifatkan agensi itu 'teruk' dan berkata, dakwaan terhadapnya adalah pembohongan berdasarkan maklumat tidak berasas.

"Saya tidak akan menyerah kepada pendakwa raya. Meletakkan bukti palsu, berbohong kepada negara dan mahu saya menyerah kepada pendakwa," kata Duterte merujuk Timbalan Pendakwa Raya, Melchor Arthur Carandang, yang mengumumkan siasatan itu.

Kenyataan Duterte bertentangan dengan kenyataan jurucakapnya minggu lalu bahawa presiden itu menghormati badan siasatan berkenaan dan mempercayai keadilannya.

Duterte, 72, menang pilihan raya presiden tahun lalu dengan janji menghapuskan dadah.

Ketika kempen, Duterte berkata, beliau berasal dari keluarga miskin dan mengamalkan cara hidup sederhana.

Ia menaikkan imej beliau sebagai ahli politik yang mewakili rakyat biasa, kata penganalisis. - AFP

863 dibaca
Berita Harian X