Ahad, 1 Oktober 2017 | 12:30pm
THAILAND sedia menyalurkan bantuan kepada kerajaan Myanmar dan Bangladesh' berkaitan krisis di Rakhine. - Foto REUTERS

Isu Rohingya: Thailand sedia bantu Myanmar, Bangladesh

BANGKOK: Thailand semalam memaklumkan pihaknya 'mengikuti rapat situasi dan akan menyalurkan bantuan kepada kerajaan Myanmar dan Bangladesh' berkaitan krisis di Rakhine.

Ia dimaklumkan menerusi Kementerian Luarnya, dalam satu kenyataan yang jarang dibuat mengenai krisis di wilayah berkenaan.

Keganasan tercetus di Rakhine pada hujung bulan lalu apabila militan Rohingya menyerang pos pengawal, mencetuskan tindakan keras oleh pihak tentera.

Difahamkan lebih setengah juta etnik Islam Rohingya yang dinafikan kewarganegaraan oleh Myanmar, melarikan diri ke Bangladesh sejak itu.

Mereka yang melarikan diri ke Bangladesh menuduh tentera Myanmar yang disokong samseng Buddha, melakukan kempen pembunuhan kejam.

Sementara, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menggambarkan insiden itu sebagai pembersihan etnik yang dilakukan kerajaan di utara Rakhine sebagai tindak balas terhadap militan yang menyerang pos pengawal pada Ogos lalu.

"Kerajaan Diraja Thailand sentiasa memberi perhatian dan perlindungan kepada pelarian Myanmar," katanya sambil merujuk kepada kira-kira 10,000 pelarian dari Myanmar yang tinggal di sembilan kem di sepanjang sempadan Thailand-Myanmar. - Reuters.

500 dibaca
Berita Harian X