Ahad, 10 September 2017 | 9:30pm
PRESIDEN Rodrigo Duterte memuji mendiang diktator Ferdinand Marcos sebagai wira.- Foto fail AFP

Marcos wira - Duterte

BATAC: Presiden Rodrigo Duterte memuji mendiang diktator Ferdinand Marcos sebagai wira bagi ramai rakyat Filipina ketika sambutan penuh emosi yang diraikan penyokong bekas pemimpin itu menjelang ulang tahun kelahirannya ke-100 esok.

Kenyataan terbaru Duterte itu sebagai sebahagian kempen memulihkan imej Marcos dan membantu penyertaan semula keluarga itu dalam politik, dengan balu mendiang, Imelda Marcos sebagai ahli Kongres dan anak lelakinya mereka menjadi naib presiden.

Duterte, yang sebelum ini memuji Marcos sebagai presiden terbaik negara itu, mengisytiharkan cuti sempena ulang tahun Marcos di wilayah kelahiran diktator itu di Ilocos Norte, yang menyaksikan mereka masih berpengaruh.

"Beliau pernah menjadi presiden. Kepada penduduk Ilocos, beliau presiden yang hebat. Mengapa perlu berbahas mengenainya?

"Sepanjang apa yang diketahui penduduk Ilocos, Marcos ialah wira," kata Duterte semalam, menyifatkan pengkritik bekas presiden itu sebagai 'tidak berguna' dan 'sampah'.

Duterte, yang berhadapan tuduhan pencabulan hak asasi manusia serius, ialah rakan kepada keluarga Marcos dan memainkan peranan penting dalam usaha mereka mencapai tahap tinggi dalam politik.

Marcos, yang disingkirkan dalam kebangkitan rakyat pada 1986 dan meninggal dunia dalam buangan di Hawaii tiga tahun kemudian, dituduh menggelapkan berbilion-bilion dolar wang kerajaan sepanjang pentadbirannya.

Pemerhati antirasuah, Transparency International pada 2004 menamakan beliau sebagai pemimpin kedua paling rasuah sepanjang zaman, di belakang bekas Presiden Indonesia, Suharto. - AFP

892 dibaca
Berita Harian X