Rabu, 6 September 2017 | 4:59pm
PENGERUSI MAPIM, Mohd Azmi Abdul Hamid melancarkan Tabung Rohingya bagi membantu rakyat yang menjadi mangsa kekejaman tentera Myanmar pada program Himpunan Munajat Untukmu Rohingya dimasjid Taman Peruda. - Foto Omar Osman

Rohingya: Panggil segera sidang tergempar ASEAN, OIC

SUNGAI PETANI: Tekanan berterusan terhadap kerajaan Myanmar dilihat mampu menghentikan kekejaman ke atas etnik Rohingya sekali gus mengekang keganasan dan ketidakstabilan di kawasan itu.

Pengerusi Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd Azmi Abdul Hamid, berkata atas usaha itu, Malaysia perlu memainkan peranan utama dengan memanggil sidang tergempar ASEAN dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dengan segera.

Katanya, tindakan segera perlu diambil bagi memberhentikan pelbagai kekejaman yang semakin teruk sejak dua minggu lalu.

"Alasan memburu pengganas yang menyerang tentera mereka hanyalah wayang melindungi kekejaman dan usaha berterusan mereka untuk menghapuskan etnik Rohingya dari bumi Myanmar.

"Tekanan perlu dibuat kepada pemerintah Myanmar, Aung San Syu Ki yang sangat jelas tidak mengendahkan bantahan dunia malah terus membenarkan tenteranya melakukan pelbagai kekejaman.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri program Himpunan Munajat Untukmu Rohingya di Masjid Al-Abror, Taman Peruda di sini, hari ini.

Sejak seminggu lalu, rakyat Malaysia melalui pelbagai saluran termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan politik, membuat bantahan secara aman dan ada yang menghantar memorandum mengutuk keganasan di negara berkenaan.

Malah, Isnin lalu, Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman, dalam perbualan telefon dengan Menteri Luar Iran, Mohamad Javad Sharif dan Menteri Luar Turki, Mevlut Cavusoglu turut membincangkan krisis kemanusiaan membabitkan etnik Rohingya di Myanmar.

Pada perbincangan itu, dipersetujui supaya isu membabitkan etnik Rohingya dibincangkan pada mesyuarat khas Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang akan diadakan dalam masa terdekat.

253 dibaca
Berita Harian X