Rabu, 9 Ogos 2017 | 8:07am
AS sedang mengkaji sokongan tambahan kepada tentera Filipina, termasuk menyediakan dron pengawasan dan latihan untuk memerangi kumpulan pemberontak di selatan negara itu.- Foto fail AFP

AS kaji beri dron, latih tentera Filipina di Marawi

WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) sedang mengkaji sokongan tambahan kepada tentera Filipina, termasuk menyediakan dron pengawasan dan latihan untuk memerangi kumpulan pemberontak di selatan negara itu.

Seorang pegawai pertahanan AS berkata, perbincangan mengenainya kini sudah mencapai tahap memberangsangkan.

"Dron itu secara hipotesis boleh melancarkan serangan walaupun ia sebenarnya untuk membantu askar AS dan sekutu mempertahankan diri daripada serangan musuh," kata pegawai yang enggan dikenali kepada AFP.

Jurucakap Pentagon, Leftenan Kolonel Chris Logan berkata bantuan ketenteraan di Filipina dilakukan atas permintaan kerajaan.

"Kami menghormati kedaulatan Filipina dan tidak akan bertindak sendirian," katanya.

Bagaimanapun, Jabatan Pertahanan Kebangsaan Filipina berkata, tiada perbincangan mengenai penggunaan pesawat AS dalam menangani kumpulan pengganas yang dikaitkan dengan militan Daesh di negara itu.

Sementara itu, ketika melawat Manila Isnin lalu, Setiausaha Negara AS, Rex Tillerson menganggap konflik di Marawi yang sudah meragut hampir 700 nyawa sebagai tragik.

Katanya, tentera AS menyediakan pesawat pengawasan dan nasihat penting kepada tentera Filipina yang terbabit dalam operasi di selatan.

Minggu lalu, Presiden Rodrigo Duterte meminta anggota parlimen meluluskan pengambilan 20,000 tentera tambahan untuk menghadapi ancaman keselamatan di selatan yang kini semakin serius. - AFP

Berita Harian X