Isnin, 7 Ogos 2017 | 10:59pm

600 pekerja pelabuhan Tanjung Priok tamat mogok

JAKARTA: Pekerja satu daripada pengendali pelabuhan paling sibuk Indonesia menamatkan mogok mereka hari ini, lebih awal daripada dirancang, sebagai mempertimbangkan 'kepentingan negara,' kata pengerusi kesatuan buruh.

Lebih 600 pekerja di PT Jakarta International Container Terminal (JICT) mengadakan mogok sejak Khamis lalu menuntut bayaran bonus, mengganggu operasi di terminal terbesar pelabuhan Tanjung Priok di sini.

JICT mengendalikan terminal kontena terbesar di Tanjung Priok, menguruskan 70 peratus eksport dan import pelabuhan terbabit.

Kesatuan Buruh JICT pada mulanya bercadang melanjutkan tindakan itu sehingga 10 Ogos ini.

Pengerusi kesatuan, Nova Sofyan Hakim, dalam satu kenyataan berkata, beliau mengarahkan anggotanya menghentikan mogok tengah hari ini 'demi kepentingan kami, impian kami dan kepentingan lebih besar negara.' -Reuters

Berita Harian X