Sabtu, 5 Ogos 2017 | 2:44pm
ANAK saudara lelaki Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong, Li Shengwu

Anak saudara Hsien Loong enggan balik

SINGAPURA: Anak saudara lelaki Perdana Menteri, Lee Hsien Loong, Li Shengwu, yang berdepan dakwaan menghina mahkamah susulan kenyataan mahkamah negara itu tidak bebas, enggan pulang ke Singapura.

Jumaat lalu, pejabat peguam negara Singapura berkata akan memulakan perbicaraan menghina mahkamah ke atas Shengwi yang kini berkhidmat sebagai ahli akademik di Amerika Syarikat (AS) berhubung kenyataan dimuat naik di akaun Facebook pada 15 Julai lalu.

Tindakan undang-undang itu adalah perkembangan terbaru dalam pertikaian membabitkan rumah mendiang pengasas Singapura, Lee Kwan Yew, yang melanda negara itu bulan lalu.

Dalam entri itu, Shengwi yang juga anak Lee Hsien Yang, menyifatkan kerajaan Singapura sebagai 'suka menyaman' manakala mahkamah negara itu 'mudah dipengaruhi'.

Shengwi, 32, adalah pembantu felo di Universiti Harvard dan memberitahu akan menjadi profesor madya dengan institusi itu menjelang musim luruh tahun depan.

Beliau mendakwa akan mempertahankan diri menerusi wakil peguam di Singapura, namun tidak akan pulang ke negara itu.

"Saya tidak berniat untuk pulang ke Singapura. Saya bahagia dengan hidup dan kerjaya di Amerika Syarikat," katanya. - Reuters

5225 dibaca
Berita Harian X