Jumaat, 4 Ogos 2017 | 10:46pm

Kumpulan bertopeng serang penduduk Islam Mandalay

YANGON: Ketegangan agama kembali di Myanmar selepas kumpulan bertopeng menyerang pemuda Islam dan kumpulan nasionalis diketuai sami Buddha melancarkan bantahan di bandar utama minggu ini.

Ketika penduduk minoriti Islam diserang dan rumah ibadat ditutup, sekumpulan kecil penunjuk perasaan lantang menuduh kerajaan Aung San Suu Kyi gagal mempertahankan penduduk majoriti beragama Buddha di negara itu.

Menurut seorang penduduk, awal pagi semalam, kira-kira 30 orang bersenjatakan kayu dan pedang memasuki kawasan kejiranan Islam, Sakya Nwe Sin di Mandalay.

Seorang pentadbir tempatan berkata, dua pemuda Islam cedera, namun pihak berkuasa menegaskan insiden itu bukan berkaitan agama.

"Ia hanya pergaduhan antara golongan muda. Suasana menjadi tegang apabila mereka mengeluarkan kata kesat terhadap penduduk kejiranan itu," kata Mejar Maung Htay.

Bagaimanapun, penduduk Islam Mandalay berkata mereka bimbang sekiranya keganasan agama pada 2014 kembali berulang. - Reuters

671 dibaca
Berita Harian X