Jumaat, 4 Ogos 2017 | 12:14am

6 maut, dua masih hilang di Rakhine

YANGON: Enam penduduk dilaporkan terbunuh di barat laut Myanmar semalam, manakala dua yang lain masih hilang, dalam insiden keganasan terkini di Rakhine.

Menurut jurucakap kerajaan dan penduduk kampung, semua mangsa adalah daripada kumpulan etnik Myo, iaitu minoriti penganut Buddha di kawasan terpencil bersempadan dengan Bangladesh yang turut menempatkan pelarian Islam Rohingya.

"Pasukan keselamatan sedang memburu pengganas selepas mayat enam penduduk dari perkampungan Kaing Gyi ditemui.

"Dua lagi penduduk dilaporkan masih hilang," kata pejabat kaunselor negara dalam satu kenyataan.

Katanya, pasukan tentera dan polis menjumpai mayat tiga lelaki dan tiga wanita berhampiran lokasi kejadian kira-kira jam 10 pagi.

Ketua kampung, Kaing Gyi Sein Hla Maung mengesahkan angka kematian itu dan berkata, seorang lelaki dan wanita masih hilang.

"Mereka ditikam dengan pisau dan ditembak," katanya menerusi telefon. - AFP

301 dibaca
Berita Harian X