Khamis, 3 Ogos 2017 | 8:58pm

Sistem MRT atasi kesesakan Jakarta mulai 2019

JAKARTA: Projek pembinaan sistem Mass Rapid Transit (MRT) yang kini memasuki fasa terakhir dijangka mampu mengatasi masalah kesesakan jalan raya yang teruk di bandar raya ini.

Pengarah Utama, MRT Jakarta, William Sabandar ketika memberitahu AFP, berkata masalah pengambilan tanah diakui menjadi punca penangguhan projek MRT itu, tetapi ia dijangka berjaya diatasi menjelang akhir tahun ini.

"Walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran, pembinaan projek ini masih mengikut jadual yang ditetapkan," katanya.

Persiapan asas sistem MRT itu kini memasuki fasa terakhir, manakala pembinaan infrastruktur dijadualkan siap sepenuhnya tahun depan dan orang ramai dijangka boleh menggunakan perkhidmatan itu mulai Mac 2019.

Ketika ini, pembinaan sedang giat dijalankan di bulatan di tengah-tengah Jakarta yang menjadi lokasi bangunan ikonik, Hotel Indonesia.

Walaupun mengakui pembinaan sistem pengangkutan itu tidak mampu disiapkan menjelang Sukan Asia pada Ogos tahun depan, namun William berkata, ia mampu mengurangkan masalah kesesakan sepanjang berlangsungnya temasya itu.

"Jika kita berjaya mengurangkan separuh daripada anggaran 100,000 penduduk yang memasuki bandar raya ini setiap hari untuk ke pusat perniagaan, itu sudah lebih daripada mencukupi," kata William.

Fasa pertama projek itu bermula pada 2013 membabitkan laluan sepanjang 16 kilometer yang menghubungkan Lebak Bulus di selatan Jakarta ke Hotel Indonesia.

Sebaik sahaja beroperasi, ia dijangka mengendalikan kira-kira 173,000 penumpang setiap hari.

Secara keseluruhan, projek ini membabitkan laluan sepanjang 110 kilometer dan mempunyai 13 stesen, termasuk enam stesen bawah tanah. - AFP

Berita Harian X