Khamis, 3 Ogos 2017 | 6:32pm

Lebih 200 ditahan kes peras di media sosial

PHNOM PENH: Pihak berkuasa Kemboja hari ini menahan lebih 200 lelaki dan wanita China disyaki menjalankan penipuan di media sosial dengan memujuk mangsa menghantar gambar bogel sebelum memeras ugut mereka.

Pegawai polis, Uk Heisela berkata, tangkapan itu dibuat apabila negara Asia Tenggara itu membongkar kegiatan jenayah siber China menerusi teknologi web yang menyasar rakyat senegara yang berada luar negara.

"Kami sedang menyoal siasat suspek. Kira-kira 200 daripada mereka terbabit dengan kes penipuan dan peras ugut," kata Heisela.

Kumpulan itu didakwa menghubungi mangsa menerusi khidmat panggilan suara internet, menjalinkan hubungan erat dengan mangsa sebelum meminta menghantar gambar bogel yang diguna untuk mengugut mangsa menyerahkan sejumlah wang kepada mereka.

Katanya, selepas mendapat maklumat daripada pihak berkuasa China, polis Kemboja menyerbu sebuah pangsapuri di sempadan Thailand semalam dan menahan 215 suspek.

Kemboja sudah menghantar pulang beratus-ratus penipu telefon dan internet China sejak beberapa tahun lalu, termasuk 74 warga negara itu yang dituduh menjalankan pemerasan dalam talian bulan lalu. - AFP

Berita Harian X