Rabu, 2 Ogos 2017 | 9:40pm
- Foto www.radionz.co.nz

Penduduk merusuh, pekerja binaan enggan hantar pesakit ke hospital

JAYAPURA: Polis Indonesia menembak mati seorang lelaki dan mencederakan beberapa yang lain dalam satu insiden pertelingkahan di Papua.

Insiden itu dipercayai dicetuskan oleh seorang pekerja yang enggan menghantar seorang lelaki meninggal dunia ke hospital.

Pertelagahan dilaporkan berlaku di daerah Deiyai di wilayah paling timur di Indonesia, apabila seorang penduduk kampung meminta sekumpulan pekerja di syarikat pembinaan untuk membawa seorang pesakit ke hospital.

Namun, seorang pekerja menolak permintaan itu, kerana khuatir dia akan dipersalahkan jika pesakit itu mati ketika dalam perjalanan.

Penduduk tempatan yang marah, kemudiannya berkumpul di tapak pembinaan terbabit bagi bertemu dengan pekerja berkenaan selepas pesakit itu disahkan meninggal dunia.

Polis yang ditugaskan menangani insiden itu terpaksa menembak mati seorang lelaki berusia 28 tahun.

Tembakan turut mencederakan tujuh yang lain, termasuk dua kanak-kanak yang cedera ringan.

Tiga penduduk yang cedera parah terpaksa diterbangkan ke daerah Nabire untuk rawatan. - AFP

1228 dibaca
Berita Harian X