Selasa, 1 Ogos 2017 | 5:10pm
SERAMAI 27 Menteri Luar dari Persatuan ASEAN dan rakan kongsi dialog seperti Jepun, Amerika Syarikat, India, Kanada dan Russia akan berkumpul di Manila, bermula Jumaat hingga Selasa depan. - Foto EPA

Filipina berjaga-jaga mesyuarat menteri luar ASEAN

MANILA: Pasukan keselamatan Filipina sedang memantau kumpulan bekas pembunuh upahan Mao yang menyertai militan Islam sebagai ancaman mungkin ketika mesyuarat ulang tahun ke-50 Menteri Luar Asia Tenggara.

Seramai 27 Menteri Luar dari Persatuan Negara Asia Tenggara (ASEAN) dan rakan kongsi dialog seperti Jepun, Amerika Syarikat (AS), India, Kanada dan Russia akan berkumpul di ibu kota ini bermula Jumaat hingga Selasa depan.

Ketua Polis Metro Manila Oscar Albayalde berkata, tiada ancaman khusus setakat ini, namun polis sedang memantau beberapa individu Kristian yang memeluk Islam.

Mereka adalah bekas pembunuh upahan komunis Briged Boncayao Alex atau ABB, kumpulan pembunuh upahan yang aktif pada 1980-an.

Albayalde berkata, lelaki terbabit menyertai kumpulan militan pro-Daesh di Filipina dan mungkin merancang mengganggu mesyuarat akan datang menteri luar terbabit.

"Kami sedang memerhatikan beberapa wilayah di mana ada sejumlah besar penduduk Islam," katanya.

Antaranya ialah Quiapo, daerah lama komersial hampir dengan kawasan istana presiden, di mana sebutir bom ketika sidang kemuncak pemimpin ASEAN pada April lalu mencederakan 14 orang. Pihak berkuasa berkata, motif serangan adalah pertelingkahan peribadi.

Pasukan keselamatan diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga peringkat tinggi sejak pakatan pejuang pro-Daesh mengepung bandar selatan Filipina di Marawi sejak 23 Mei lalu, pertempuran yang masih berterusan dan meragut lebih 650 nyawa, kebanyakannya pejuang pemberontak.

Albayalde berkata, walaupun ABB adalah kumpulan kecil dan sekian lama tidak aktif, pertukaran agama sesetengah anggotanya bermaksud ia perlu diperhatikan.

Filipina menghantar 13,000 pegawai polis untuk mengawasi dan melindungi lebih 1,700 delegasi. - Reuters

Berita Harian X