Jumaat, 12 Oktober 2018 | 9:47am
Dalam gambar handout yang dikeluarkan oleh Pengawal Pantai AS (USCG) pada 11 Oktober 2018, pengawal Pantai dari Air Station Miami MH-65 Dolphin menilai kerosakan rumah di pantai Mexico akibat Taufan Michael. - Foto AFP

Sekurang-kurangnya 6 maut akibat Michael

PANAMA CITY: Pasukan mencari dan menyelamat melakukan tinjauan di kawasan teruk terjejas semalam mencari mangsa Taufan Michael, ribut ganas Kategori 4 yang menyebabkan kemusnahan besar di Florida Panhandle atau kawasan barat daya Florida, mengorbankan sekurang-kurangnya enam orang di tiga negeri.

Di Mexico Beach, bandar tepi laut di mana taufan mendarat, kediaman teruk dibadai pusuan ribut, bot dipukul ke laman rumah dan jalan raya dipenuhi pokok tumbang dan tiang elektrik.

Gabenor Florida, Rick Scott berkata, taufan itu mencetuskan ‘kemusnahan luar jangka’ dan keutamaan kini ialah mencari mangsa di kalangan penduduk yang gagal mematuhi arahan berpindah.

“Saya amat bimbangkan rakyat yang tidak berpindah dan saya berharap, kita tidak mengalami banyak kehilangan nyawa,” kata Scott kepada saluran ABC.


GERABAK keretapi kelihatan terbalik akibat ditiup Taufan Michael di Panama City, Florida. - Foto AFP

Tentera AS berkata, lebih 2,000 tentera Pengawal Kebangsaan Florida ditugaskan dalam operasi pemulihan.

Ada enam kematian disahkan berkaitan taufan setakat ini, empat di Gadsden County, Florida manakala satu di Georgia dan Carolina Utara. Laporan Reuters bagaimanapun menyebut 7 maut akibat serangan taufan itu.

Presiden Donald Trump memberi jaminan membantu mangsa.

Pihak berkuasa Florida berkata, lebih 400,000 rumah dan premis perniagaan bergelap di Florida dan Scott berkata, hampir 20,000 kakitangan utiliti dikerah untuk memulihkan bekalan kuasa.

Michael mendarat tengah hari kelmarin sebagai taufan Kategori 4, paling ganas menyerang barat daya Florida dalam tempoh lebih sekurun.

Taufan itu melemah kepada ribut tropika ketika bergerak ke Carolina Utara dan Virginia sebelum menuju ke Lautan Atlantik, kata Pusat Taufan Kebangsaan (NHC) semalam.

Mexico Beach, dibadai taufan secara langsung, mengalami kemusnahan besar-besaran akibat kelajuan angin 250 kilometer sejam dan pusuan ribut setinggi beberapa meter.

NHC memberi amaran angin kencang dan banjir kilat di Carolina Utara dan Virginia dengan ribut membawa angin berkelajuan 80 kilometer sejam.

“Michael akan bergerak ke timur Carolina Utara dan tenggara Virginia petang ini sebelum menuju ke Lautan Atlantik malam ini,” katanya.

Ketua Agensi Pengurusan Bencana Persekutuan (FEMA), Brock Long berkata, Michael adalah taufan paling ganas menyerang Florida Panhandle sejak catatan rekod bermula 1851.

Long berkata, banyak bangunan di Florida tidak dibina untuk menahan serangan taufan di atas kekuatan ribut Kategori 3 dalam Skala Angin Taufan Saffir-Simpson. -AFP/Reuters

618 dibaca
Berita Harian X