Khamis, 11 Oktober 2018 | 3:19pm
TRUMP mendesak Arab Saudi menjelaskan kehilangan seorang wartawan negara itu yang juga pemastautin di AS, Jamal Khashoggi. - Foto AFP

Trump desak Riyadh perjelas isu wartawan

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mendesak Arab Saudi menjelaskan kehilangan seorang wartawan negara itu yang juga pemastautin di AS, Jamal Khashoggi.

Ini selepas pegawai Turki mengesyaki bahawa wartawan itu dibunuh selepas memasuki konsulat Arab Saudi di Istanbul.

Pentadbiran Trump meningkatkan tekanan selepas memberi reaksi awal yang lembut selepas wartawan itu yang juga penulis akhbar

Washington Post, hilang pada 2 Oktober lalu.

Trump berkata, beliau telah beberapa kali berbincang dengan rakan di Arab Saudi, negara sekutu rapat Washington dan juga pasaran penting bagi industri senjata AS.

“Kami menuntut mereka menjelaskan semuanya. Kami tidak boleh biarkan ini berlaku kepada wartawan atau sesiapa saja,” kata Trump kepada wartawan.

“Kami kecewa melihat apa yang berlaku. Kami tidak suka dan kami akan cuba dapatkan maklumat sebenar,” katanya lagi.

Ketika diwawancara kemudian oleh “Fox News at Night,” Trump berkata: “Bukan sesuatu yang baik jika Arab Saudi terbukti melakukannya.”

Ketika ditanya mengenai pendiriannya terhadap cadangan anggota Kongres supaya jualan senjata kepada Arab Saudi disekat, Trump berkata, langkah itu akan menjejaskan ekonomi AS.

“Secara jujur, saya rasa langkah itu adalah sesuatu yang sukar dilakukan kerana memberi kesan buruk kepada kita,” katanya.

Jurucakap Trump, Sarah Sanders berkata Penasihat Keselamatan Kebangsaan, John Bolton; Setiausaha Negara, Mike Pompeo dan penasihat Trump yang juga menantunya, Jared Kushner telahpun berbincang dengan Putera Mahkota Saudi, Putera Mohammed bin Salman, sejak dua hari lalu.

AS tidak mengesahkan dakwaan Turki bahawa Khashoggi yang lantang mengkritik Raja Salman dan anak lelakinya, Putera Mohammed, telah diumpan pergi ke konsulat Saudi di Istanbul sebelum dibunuh ejen Riyadh.

Akhbar The Washington Post semalam mendakwa bahawa Putera Mohammed yang mengarahkan operasi mensasarkan Khashoggi. - AFP

1117 dibaca
Berita Harian X