Rabu, 10 Oktober 2018 | 9:36pm
KETUA WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus. - Foto AFP

Jangan halalkan ganja rekreasi - Ketua WHO

MANILA: Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) mengingatkan mana-mana negara supaya berfikir dua kali sebelum membenarkan penggunaan ganja untuk rekreasi, ketika Kanada hampir menjadi negara kedua menghalalkan dadah itu digunakan secara bebas.

Ketua WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus bagaimanapun berkata, pertubuhan itu menyokong kebenaran dadah seperti ganja untuk tujuan perubatan.

“Pastinya kita percaya bahawa ada yang memerlukannya terutama untuk mengawal rasa sakit. Akses memang perlu ada,” katanya, ketika di Filipina untuk mesyuarat serantau.

Namun, katanya, akses sedemikian perlu dikawal undang-undang dan tindakan membuka ruang untuk ganja dihalakan sepenuhnya bakal mendatangkan risiko kesihatan.

“Saya merasakan segala bahan menyebabkan ketagih tidak baik untuk kesihatan manusia. Kita tidak patut menggalakkan negara mengikut langkah negara lain dalam membenarkannya,” katanya.

Beliau berkata demikian, ketika Kanada akan membenarkan golongan dewasa negara itu membeli, menanam dan menggunakan ganja dalam tempoh seminggu lagi.

Ia adalah negara kedua berbuat demikian, selepas Uruguay, lima tahun lalu. Pihak berkuasa Kanada berkata, dasar menghalalkan ganja akan menjejaskan pengedar dan penyeludup dadah serta melindungi belia.

Sembilan negeri di Amerika Syarikat (AS) juga sudah membenarkan penggunaan ganja untuk tujuan rekreasi dan banyak negeri lain dijangka turut serta. - AFP

318 dibaca
Berita Harian X