Rabu, 10 Oktober 2018 | 9:06pm
Nikki Haley. - Foto AFP

PBB hargai kerjasama, sokongan Haley

NEW YORK: Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres menyampaikan penghargaan beliau kepada wakil Amerika Syarikat (AS), Nikki Haley, semalam, selepas peletakan jawatan, menjelang akhir tahun ini.

Jurucakap Guterres, Stephane Dujarric berkata, PBB masih belum menerima notis rasmi peletakan jawatan beliau sebagai wakil tetap Washington ke badan dunia itu.

“Setiausaha Agung mengucapkan penghargaan beliau atas kerjasama dan sokongan Duta Haley selama ini. Mereka melakukan kerjasama produktif dan kukuh sepanjang perkhidmatan beliau,” katanya.

Haley mengumumkan keputusan luar jangkaan beliau itu di Rumah Putih bersama Presiden AS, Donald Trump.

Di PBB, beliau vokal dalam mempertahankan dasar luar tegas Trump yang mencabar pendekatan pelbagai negara dalam beberapa masalah terbesar dunia.

Beliau mendesak reformasi PBB yang dilihat pentadbiran Trump sebagai birokrasi dan membazir.

Ketika perkhidmatan beliau, AS memecah tradisi kedudukan PBB terhadap warga Palestin dengan menarik diri daripada UNESCO, mengurangkan dana untuk agensi pelarian Palestin PBB dan meninggalkan Majlis Hak Asasi Manusia yang berat sebelah terhadap Israel.

Duta Britain ke PBB, Karen Pierce memaklumkan beliau amat kecewa dengan peletakan jawatan Haley.

Duta Perancis, Francois Delattre pula memuji Haley sebagai salah seorang pegawai Trump paling berbakat.

“Kami menjalin hubungan rapat dan saling mempercayai,” kata Delattre walaupun banyak perbezaan pendapat.

Pakar International Crisis Group, Ashish Pradhan berkata, pemergian Haley membayangkan kemungkinan pengganti lebih tegas.

“Kebimbangan kini adalah individu yang menggantikan beliau akan mengambil pendekatan lebih tegas terhadap PBB terutama ketika Penasihat Keselamatan Nasional, John Bolton di Rumah Putih,” katanya. - AFP

96 dibaca
Berita Harian X