Sabtu, 15 September 2018 | 12:37am
Pokok tumbang mengenai dawai elektrik berhampiran sebuah rumah di Pollocksville, North Carolina akibat taufan Florence. - Foto AFP

Ratusan terperangkap di Carolina akibat Taufan Florence

WILMINGTON: Kakitangan kecemasan menyelamatkan ratusan penduduk yang terperangkap, selepas hujan lebat dan angin kencang akibat Taufan Florence melanda kawasan pantai timur Amerika Syarikat.

“Taufan ini mengakibatkan keadaan huru hara dan malapetaka di negeri ini.

“Kami bimbang ia akan memusnah seluruh kawasan di sini,” kata Gabenor Carolina Utara, Roy Cooper.

Antara kawasan yang terjejas teruk ialah bandar New Bern dan Carolina Utara, apabila air sungai Neuse melimpah lalu membanjiri jalan raya, sekali gus menyebabkan ramai penduduk terperangkap di dalam kediaman masing-masing.


Pasukan penyelamat mengeluarkan seorang lelaki yang terperangkap dari sebuah rumah yang dihempap pokok besar akibat taufan Florence di Wilmington, North Carolina. - Foto AFP

“Kami akan datang menyelamatkan anda. Anda perlu naik ke aras dua atau ke bahagian loteng rumah, tetapi yang pasti, kami akan datang menyelamatkan anda,” kata pihak berkuasa New Bern menerusi Twitter.

Sementara itu, Cooper berkata, setakat ini, tiada kematian dilaporkan, tetapi ‘ratusan’ operasi menyelamat sudah dilancarkan dan masih ramai lagi penduduk yang perlu diselamatkan.

“Pekerja penyelamat bekerja dalam situasi bahaya dan keadaan akan menjadi bertambah buruk hari ini,” katanya.

Beliau berkata, kira-kira 20,000 penduduk sudah ditempatkan di pusat perlindungan sementara di seluruh negara. - AFP

339 dibaca
Berita Harian X