Jumaat, 14 September 2018 | 1:56pm
CYNTHIA Nixon. - Foto Reuters

Aktres 'Sex and the City' kalah jadi calon gabenor

NEW YORK: Aktres ‘Sex and the City’ Cynthia Nixon yang bertukar aktivis pendidikan, hilang impian menjadi Gabenor New York semalam, ditewaskan dalam pemilihan utama Parti Demokrat oleh penyandang dua penggal, Andrew Cuomo.

Cuomo, 60, memegang jawatan sejak 2011 mengalahkan Nixon dengan 66 peratus berbanding 34 peratus, ramal media Amerika Syarikat (AS) tidak lama selepas undian ditutup.

Keputusan itu meletakkan Cuomo memenangi penggal ketiga sebagai ketua eksekutif negeri keempat paling padat di AS, yang memihak Demokrat dalam pilihan raya umum 6 November ini.

Nixon, ibu tiga anak berusia 52 tahun itu memasuki perlumbaan Mac lalu, dalam cubaan menjadi wanita dan gabenor gay pertama, menuntut perubahan dan menyokong isu panas berhaluan kiri.

Sama ada Cuomo atau Nixon tidak membuat ulasan terbuka selepas pemilihan itu.

“Beliau seorang lelaki berpengalaman manakala pelakon itu jelas tidak mempunyai pengalaman. Kita sudah pun ada lelaki tidak berpengalaman dalam Rumah Putih, justeru mengapa letakkan seorang lagi di Albany?” jelas pengundi Cuomo, Jack Buchanan, 87, di Upper East Side Manhattan merujuk Presiden Donald Trump yang tidak popular di bandar itu.

“Saya tidak fikir beliau layak. Saya tidak fikir beliau memiliki strategi cukup untuk mendapatkan wang untuk melakukan apa yang beliau mahu, namun saya suka apa yang beliau mahu lakukan,” kata pengundi Nixon, Jill Vexler di Union Square, mengakui ia lebih kepada undi simpati.

Nixon berharap menjadi pendahulu sebagai calon utama pemilihan Demokrat untuk kerusi Kongres di kawasan seperti bandar raya ini dan Boston. -AFP

549 dibaca
Berita Harian X