Jumaat, 24 Ogos 2018 | 7:41am
ANTONIO Guterres. - Foto AFP

Penyiasat PBB mula siasat jenayah Daesh di Iraq

NEW YORK: Sepasukan penyiasat Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) sudah memulakan tugas di Iraq, menyasar untuk mengumpul bukti pembunuhan beramai-ramai minoriti Yazidi dan jenayah lain dilakukan militan Daesh, menurut sepucuk surat dikeluarkan semalam.

Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres memaklumkan Majlis Keselamatan dalam sepucuk surat dihantar 17 Ogos lalu, penyiasat diketuai peguam hak asasi manusia Britain, Karim Asad Ahmad Khan memulakan tugas itu 20 Ogos lalu.

Tahun lalu, majlis berkenaan secara sebulat suara menerima resolusi mewujudkan panel penyiasat bagi membantu membawa penjenayah Daesh ke muka pengadilan, kempen diperjuangkan peguam hak asasi manusia antarabangsa, Amal Clooney.

Peguam berketurunan Lubnan-Britain itu mewakili wanita Yazidi yang diambil sebagai tebusan dan digunakan sebagai hamba seks oleh Daesh ketika ia merampas rantau Sinjar, Iraq pada Ogos 2014.

PBB menyifatkan pembunuhan puak Yazidi sebagai genosid mungkin dan Clooney membuat kemunculan di hadapan badan dunia itu untuk menuntut tindakan.

Puluhan ribu puak Yazidi lari daripada pembunuhan pada Ogos 2014 di Sinjar dan siasatan PBB mendokumenkan keterangan mengejutkan penderaan dialami wanita dan gadis.

Guterres memaklumkan, Khan yang dilantik Februari lalu, melakukan kunjungan pertama ke Iraq antara 6 hingga 14 Ogos lalu.

Penyiasat akan mengumpul bukti jenayah perang, jenayah terhadap kemanusiaan atau genosid untuk digunakan di mahkamah Iraq yang membicarakan militan Daesh, menurut resolusi itu. -AFP

95 dibaca
Berita Harian X