Jumaat, 27 April 2018 | 7:18am
DONALD Trump mengaku peguamnya, Michael Cohen, mewakilinya dalam kes membabitkan bekas pelakon porno Stormy Daniels. - Foto AFP

Trump mengaku diwakili Cohen kes Stormy Daniels

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump semalam mengaku peguamnya, Michael Cohen, mewakilinya dalam kes membabitkan bekas pelakon porno Stormy Daniels.

Trump sebelum ini mengaku tidak mengetahui langsung mengenai bayaran AS$130,000 (RM510,627) yang dibuat Cohen kepada Daniels. Ia dikatakannya untuk menghalangnya daripada bercakap mengenai hubungan sulit pada 2016 dengan mogul hartanah yang kini Presiden Amerika Syarikat itu.

Trump, dalam satu wawancara telefon dengan 'Fox and Friends,' mengakui untuk kali pertama bahawa Cohen mewakili beliau dalam rundingan dengan Daniels.

Daniels memfailkan tuntutan mahkamah memohon dibebaskan daripada perjanjian undang-undang yang diuruskan Cohen, yang mahukan beliau berdiam diri.

"Dia mewakili saya untuk kes Stormy Daniels yang gila ini. Untuk pengetahuan anda, dari apa yang saya lihat, dia (Cohen) benar-benar tidak melakukan perbuatan yang salah. Malah tiada wang kempen digunakan," kata Trump.

Ketika ditanya wartawan awal bulan ini mengenai pembayaran kepada Daniels, Trump mengatakan tidak mengetahuinya.

"Anda perlu bertanya kepada Michael Cohen. Michael adalah peguam saya. Anda perlu bertanya kepada Michael," katanya.

Pembayaran kepada Daniels dibuat hanya beberapa hari sebelum pilihan raya presiden November 2016, dan ada cadangan mengatakan bahawa ia mungkin melanggar undang-undang kewangan kempen. - AFP

463 dibaca
Berita Harian X