Selasa, 17 April 2018 | 8:29am

Kanada bawa pulang diplomat susulan penyakit misteri

OTTAWA: Kanada memutuskan membawa pulang keluarga diplomatnya di Cuba, selepas siasatan selama setahun mengenai penyakit misteri yang menjejaskan pegawai Kanada dan Amerika Syarikat, gagal mendedahkan puncanya.

Sementara itu, jumlah diplomat Kanada dan keluarga mereka yang menunjukkan gejala penyakit misteri itu meningkat daripada lapan kepada 10 manakala 27 lagi menjalani ujian.

Menurut kenyataan kerajaan, punca gejala masih tidak diketahui tetapi ia adalah perbuatan manusia.

"Urusan akan dibuat untuk menyokong kakitangan diplomatik dan keluarga mereka kembali ke Kanada dalam masa beberapa minggu ini, selain keluarga yang dijangka ditugaskan di Cuba pada musim panas.

"Operasi kedutaan berterusan seperti biasa dan kami percaya keadaan tidak memberikan sebarang risiko kepada pelancong Kanada di Cuba," menurut kenyataan itu.

Pihak berkuasa Kanada dan AS pada awalnya mengesyaki ia adalah "serangan sonik" atau "kejadian psikosomatik beramai-ramai" yang membawa kepada ketegangan diplomatik antara Washington dan negara itu.

Bagaimanapun, kedua-dua andaian itu dianggap bukan penyebab. - AFP

783 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »