Isnin, 16 April 2018 | 3:15pm
JAMES Comey (kiri) dan Donald Trump. - Foto AFP

Trump tidak layak jadi presiden: Comey

WASHINGTON: Bekas pengarah Biro Siasatan Persekutuan (FBI), James Comey menyifatkan Donald Trump 'tidak layak dari segi moral' untuk menjadi presiden dan menggambarkan beliau sebagai 'penipu bersiri' yang akan mencemarkan semua orang di sekelilingnya.

Comey berkata demikian dalam satu temubual dengan stesen televisyen ABC, semalam, selepas Trump mengkritiknya menerusi Twitter dan menggelarnya seorang yang jijik, selain mencadangkan supaya bekas pengarah FBI itu dipenjarakan.

Temubual dengan ABC News itu dibuat menjelang penerbitan memoir Comey bertajuk "A Higher Loyalty: Truth, Lies and Leadership' yang menceritakan secara terperinci mengenai hubungannya dengan presiden dari Parti Republikan itu.

"Saya rasa secara moralnya beliau (Trump) tidak layak untuk menjadi presiden," katanya dalam temubual pertama menerusi televisyen sejak dipecat dari jawatannya pada Mei tahun lalu.

Malah, bekas pendakwaraya persekutuan itu, mendedahkan mengenai bagaimana Trump 'berbicara mengenai wanita dan cara beliau melayani mereka, seolah-olah mereka adalah seperti sehelai daging'.

Comey juga menceritakan mengenai sikap Trump yang sering menipu mengenai pelbagai perkara sama ada ia satu isu besar atau kecil dan menegaskan bahawa rakyat Amerika Syarikat akan mempercayainya. - AFP

944 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »