Isnin, 16 April 2018 | 7:47am
PRESIDEN Amerika Syarikat (AS) Donald Trump. - Foto Reuters

Kempen pemilihan semula Trump kumpul RM38 juta

WASHINGTON: Kempen pemilihan semula Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump sudah mengumpul AS$10 juta (RM38.8 juta) pada suku pertama tahun ini, menjadikan jumlahnya AS$28 juta (RM108.64 juta) dalam bentuk tunai, kata kempennya semalam.

Trump membelanjakan AS$3.9 juta (RM15.13 juta) pada suku pertama.

Trump, tidak seperti presiden terdahulu, memilih untuk secara aktif mengumpul dana pada awal penggal pertamanya. Beliau mungkin menggunakan wang yang dikumpul itu untuk membantu Republikan dalam pilihan raya pertengahan penggal akan datang November ini.

Sebagai tambahan mengumpul wang untuk kempennya sendiri, Trump juga mengumpul dana bagi usaha bersama dengan Jawatankuasa Kebangsaan Republikan, yang menggunakan wang itu bagi membantu calon Kongres.

Kempen pemilihan semulanya membelanjakan sejumlah AS$22 juta (RM85.36 juta) dalam bentuk tunai pada 2017.

Ketika suku pertama tahun ini, Trump membelanjakan kira-kira AS$834,000 (RM3.24 juta) untuk perbelanjaan perundangan, menurun daripada AS$1.1 juta (RM4.27 juta) dibelanjakan bagi tempoh dua suku sebelumnya, menurut pendedahan difailkan dengan Suruhanjaya Pilihan Raya Persekutuan.

Kempen Trump menggunakan jutaan dolar wang kempen sejak tahun lalu untuk membayar yuran perundangan termasuk sesetengah dikaitkan tindak balas terhadap siasatan Russia dijalankan Peguam Khas Robert Mueller. Kempennya membelanjakan lebih AS$3 juta (RM11.64 juta) pada 2017 untuk yuran perundangan sahaja.

Sebagai tambahan kepada yuran perundangan, beliau juga menggunakan wang itu untuk menggaji kumpulan kecil kakitangan kempen, membiayai perhimpunan kempen dan membayar iklan digital memfokuskan penyokongnya.

Trump memfailkan pemilihan semula pada hari beliau mengambil alih jawatan itu, tindakan luar biasa buat penyandang Presiden. Secara tradisi, penyandang terpaksa menunggu sehingga selepas tahun kedua memegang jawatan bagi memulakan kempen pemilihan semula. Presiden AS itu akan bertanding semula pada November 2020. -Reuters

490 dibaca
Berita Harian X