Rabu, 14 March 2018 | 9:40am

Anjing peliharaan mati dalam pesawat United Airlines

NEW YORK: Seekor anjing mati dalam pesawat United Airlines selepas pembantu penerbangan memaksa pemiliknya meletakkan haiwan peliharaan itu dalam tong sampah bahagian kabin, dan syarikat penerbangan itu semalam mengambil tanggungjawab sepenuhnya di atas kejadian itu.

Dalam penerbangan dari Houston ke New York kelmarin, seorang wanita yang berada dalam pesawat itu dengan anak dan anjingnya dipaksa pembantu penerbangan meletakkan haiwan itu di atas ruang simpanan di bahagian atas sepanjang penerbangan selama tiga setengah jam itu.

Menurut seorang penumpang lain, Maggie Gremminger, wanita berkenaan mahu terus memastikan anjing yang ditempatkan dalam beg kecil di bawah tempat duduknya, tetapi pembantu penerbangan bertegas meminta beliau meletakkan haiwan itu di ruang bahagian atas.

"Pada akhir penerbangan, wanita berkenaan mendapati anjingnya sudah mati.

"Beliau duduk di atas lantai sambil menangis dan semua penumpang tergamam," kata Gremminger dalam siri tweet bersama-sama gambar wanita berkenaan dan anaknya.

United menyifatkan kejadian itu sebagai tragik yang tidak sepatutnya terjadi, kerana haiwan peliharaan tidak boleh diletakkan dalam tong sampah di ruang atas kepala.

Jurucakap United, Maggie Schmerin, berkata syarikat akan menyiasat perkara itu dan kos tiket dipulangkan semula kepada keluarga wanita berkenaan, termasuk yuran kabin haiwan peliharaan bernilai AS$125 (RM486).

Ini bukan kali pertama United disiasat kerana layanan terhadap haiwan.

Tahun lalu, ia disaman pemilik arnab gergasi yang mati dalam satu satu pesawatnya. - Reuters

971 dibaca
Berita Harian X