Selasa, 13 March 2018 | 8:22am
WESS Mitchell. - Foto AFP

AS tuduh Russia pecah belahkan Balkan

PRISTINA: Seorang pegawai kanan Amerika Syarikat (AS) semalam menuduh Russia menyebarkan maklumat salah dan memecahbelahkan demokrasi di Balkan, memberi amaran, Moscow memainkan 'peranan meningkat sebagai pemusnah' di rantau itu.

Kenyataan itu susulan kritikan oleh komander tentera atasan AS di Eropah, Russia sengaja memecahbelahkan Balkan menerusi tekanan rahsia dan terang-terangan.

Pemangku Penolong Setiausaha Negara untuk Hal Ehwal Eropah, Wess Mitchell memberitahu media semalam:

"Kami melihat Russia memainkan peranan semakin merosakkan di kebanyakan negara Balkan dengan menyebarkan maklumat salah, menjejaskan institusi demokratik.

"Kami sudah menjelaskan dalam perbualan dengan pihak Russia bahawa tindakan itu bukan untuk kepentingan mereka atau kepentingan rakyat di rantau itu."

Mitchell kini dalam kunjungan pertama ke rantau itu termasuk negara calon EU, Macedonia dan Serbia, membuat ucapan selepas bertemu Presiden Kosovo, Hashim Thaci.

Russia, secara tradisinya sekutu dengan majoriti puak Ortodoks di Serbia dan Serbia Bosnia di Balkan, meningkatkan kehadiran medianya di rantau itu dan secara tegas menentang kemasukan Montenegro ke dalam NATO tahun lalu.

Minggu lalu, Jeneral AS, Curtis Scaparrotti, komander tentera NATO di Eropah memberitahu pembuat dasar AS, Russia berusaha memecahkan pakatan NATO, sebahagiannya menerusi operasi dalam talian bagi menyebarkan maklumat palsu.

Naib Presiden AS, Mike Pence juga menyelar Russia tahun lalu kerana cuba 'memecahbelahkan' Barat Balkan.

Moscow tidak secara rasmi menentang negara Balkan yang membida menyertai EU namun Menteri Luar Russia, Sergei Lavrov baru-baru ini mengkritik Barat kerana membuatkan mereka memilih sama ada untuk bersama 'Barat atau Russia.' -AFP

889 dibaca
Berita Harian X