Selasa, 13 March 2018 | 1:14am
Duta AS, Nikki Haley memberi ucapan pada Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu di ibu pejabat PBB di New York, Amerika Syarikat. - Foto REUTERS

AS bentang resolusi baharu gencatan di Syria

NEW YORK: Amerika Syarikat (AS) hari ini membentangkan satu draf resolusi baharu kepada Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), menuntut gencatan senjata 30 hari di wilayah terkepung Syria di Timur Ghouta.

Duta AS, Nikki Haley berkata, satu resolusi gencatan senjata diterima pakai majlis itu dua minggu lalu 'gagal' ketika rejim Syria disokong Russia meningkatkan tentangannya di Timur Ghouta.

"Kami sudah menderaf satu resolusi baharu gencatan senjata tidak menyediakan ruang untuk pencerobohan.

"Situasi orang awam di Timur Ghouta amat terdesak. AS kini bertindak," kata Haley.

Haley menuduh Russia sengaja mengundi menyokong resolusi gencatan senjata dan kemudian 'segera tidak mempedulikannya.'

Russia menjalankan sekurang-kurangnya 20 misi pengeboman harian di Damsyik dan Timur Ghouta dalam tempoh empat hari pertama susulan penerimaan resolusi, kata Haley.

Beliau memberi amaran, AS bersiap sedia 'bertindak jika perlu' ke atas 'mana-mana negara yang berhasrat melaksanakan matlamatnya menerusi serangan kimia dan penderitaan tanpa perikemanusiaan, terutama rejim Syria yang kejam.'

Teks draf AS dilihat AFP memberi laluan menghentikan kekejaman selama 30 hari di seluruh Timur Ghouta dan Damsyik bermula serta merta selepas pelaksanaan langkah itu.

Draf resolusi itu menyediakan akses selamat, tanpa halangan dan berkekalan untuk konvoi bantuan kemanusiaan serta pemindahan perubatan selamat tanpa syarat di Timur Ghouta.

Terdahulu, Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres memaklumkan majlis, serangan udara, pengeboman dan tentangan darat diperhebat di Timur Ghouta sejak resolusi gencatan senjata diterima 24 Februari lalu.

Duta Perancis, Francois Delattre menambah tekanan kepada Russia supaya menghentikan operasi dan menggesa rejim Syria menamatkan tentangan sambil berkata 'Russia boleh menghentikan pertumpahan darah.' -AFP

388 dibaca
Berita Harian X