Selasa, 13 March 2018 | 12:33am
GAMBAR fail, Beyonce bersama suaminya, Jay-Z sewaktu membuat persembahan di Get Out the Vote (GOTV) menyokong Presiden Demokrat Hillary Clinton di Pusat Wolstein di Cleveland, Ohio pada November, 2016. - Foto AFP

Jay-Z, Beyonce umum konsert jelajah bersama kedua

NEW YORK: Pasangan suami isteri terkenal, Beyonce dan Jay-Z, semalam mengumumkan pertunjukan bersama dalam apa yang berkemungkinan menjadi konsert paling mewah dalam masa beberapa tahun ini.

Kedua-duanya, yang menimang anak kembar Jun lalu, akan membuat konsert pembukaan pada 6 Jun ini di stadium bandar raya Cardiff, Wales.

Pertunjukan pada 36 tarikh yang ditetapkan di seluruh Eropah termasuk pada Hari Bastille di Stade de France di Paris, sebelum konsert penutup di Vancouver pada 2 Oktober.

Beyonce mengumumkan konsert itu dalam siri kenyataan kepada 112 juta pengikutnya di Instagram, termasuk gambar hitam putih beliau dan suami beraksi penuh sensasi di atas motosikal yang memaparkan tengkorak lembu di bahagian depan.

Diva itu juga menyiarkan video setengah minit rakaman aksi perlahan kedua-dua superstar itu, diiringi lagu reggae klasik, 'I'm Still in Love With You'.

Jay-Z dan Beyonce menggelar konsert itu sebagi OTK II, merujuk kepada persembahan pertama mereka berdua 'On the Run' pada 2014 yang memperoleh pendapatan kira-kira AS$100 juta (RM390 juta).

Beyonce dijangka kembali ke pentas pada April ini untuk menjayakan Coachella, festival muzik Amerika Syarikat, dalam persembahan pertamanya sejak melahirkan anak kedua dan ketiga mereka. - AFP

184 dibaca
Berita Harian X