Isnin, 12 March 2018 | 2:41pm
BETSY DeVos. - Foto AFP

AS tingkat bantuan bekal senjata kakitangan sekolah

WASHINGTON: Pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump sedia menyediakan bantuan kepada mana-mana negeri yang berhasrat membekalkan senjata kepada kakitangan sekolah.

Langkah bertujuan meningkatkan kawalan keselamatan di kawasan sekolah susulan insiden tembakan yang mengorbankan 17 mangsa di Florida, hujung bulan lalu.

Setiausaha Pendidikan, Betsy DeVos, ketika dihubungi sekumpulan wartawan berkata, walaupun idea kontroversi, iaitu untuk menyimpan senjata di sekolah kurang mendapat sokongan daripada guru, ia adalah sebahagian 'rancangan yang dianggap pragmatik' untuk meningkatkan keselamatan di sekolah.

"Kami komited untuk melakukannya dengan segera kerana sudah tiada masa," kata DeVos yang akan mengetuai suruhanjaya persekutuan mengenai keselamatan sekolah.

Sementara itu, pembantu presiden yang mengetuai Majlis Dasar Domestik, Andrew Bremberg, berkata antara langkah lain diambil pentadbiran Trump ialah menggesa pihak negeri meluluskan 'arahan perlindungan sementara' seperti yang dilaksanakan di Florida baru-baru ini.

Langkah itu diambil ketika isu kawalan senjata kebangsaan dibincangkan dengan hebat oleh mangsa terselamat dalam insiden tembakan rambang di Sekolah Tinggi Marjory Stoneman Douglas, yang mengorbankan 14 pelajar dan tiga kakitangan. - AFP

226 dibaca
Berita Harian X