Rabu, 14 Februari 2018 | 3:01pm
MENTERI Luar Kanada, Chrystia Freeland.- Foto EPA

Kanada desak Iran jelas kematian rakyatnya

OTTAWA: Kanada mendesak Iran mengemukakan jawapan berhubung kematian rakyatnya yang juga aktivis alam sekitar terkemuka, Kavous Seyed Emami yang dipercayai membunuh diri dalam penjara di Tehran.

Menteri Luar Kanada, Chrystia Freeland berkata, pihaknya memandang serius situasi persekitaran tahanan dan kematian Seyed Emami.

Katanya, Ottawa berulang kali melahirkan kebimbangan berhubung kejadian itu.

"Seorang rakyat Kanada meninggal dunia. Kami berharap kerajaan Iran memberikan maklumat dan jawapan berhubung tragedi ini," katanya.

Freeland berikrar untuk menggunakan apa juga cara dalam kemampuan negara itu untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Kavous, 63, seorang profesor dan pengasas Yayasan Warisan Hidupan Liar Parsi, dikebumikan pada Selasa lalu di kampungnya, Ammami, kira-kira 40 kilometer dari utara Tehran.

Menurut pegawai kerajaan Iran, Kavous membunuh diri di dalam penjara dua minggu selepas ditahan bersama tujuh anggota pertubuhan bukan kerajaan (NGO) miliknya.

Ketua pendakwa raya Tehran, Abbas Jafari Dolatabadi, menuduh Kavous menjadi sebahagian daripada rangkaian perisikan Mossad, Israel dan Agensi Perisikan Pusat (CIA).

Katanya, NGO terbabit ditubuhkan sedekad lalu sebagai penyamaran untuk mendapatkan maklumat pertahan dan persenjataan.

Abbas berkata, kediaman Kavous menjadi lokasi utama penginapan ejen-ejen dan pegawai perisikan Amerika Syarikat. - AFP

399 dibaca
Berita Harian X