Isnin, 12 Februari 2018 | 4:34pm
HARVEY Weinstein. - Foto Reuters

New York saman Weinstein and Co

NEW YORK: Bandar raya ini menyaman Harvey Weinstein, saudara lelakinya dan syarikat produksi milik mereka semalam kerana gagal melindungi pekerja daripada dakwaan salah laku seksual walaupun beberapa aduan dibuat kakitangannya.

Tuntutan itu dibuat empat bulan selepas kerjaya jutawan Hollywood itu berakhir berhubung dakwaan gangguan seksual, serangan dan rogol yang kini membabitkan lebih 100 wanita sepanjang 40 tahun.

Pendakwa raya negeri berkata, tuntutan itu, hasil satu siasatan, difailkan berikutan kebimbangan The Weinstein Company mungkin akan dijual kerana ia kini di ambang kebankrapan, sekali gus menyebabkan mangsa tidak mendapat pembelaan sewajarnya.

Tuntutan saman itu kini mungkin menyebabkan penjualan syarikat itu ditangguhkan.

Peguam Weinstein berhasrat menyekat tuntutan itu dan sebaliknya menunjukkan anak guamnya yang berusia 65 tahun itu sebagai penyokong pembangunan kerjaya wanita.

Namun pendakwa raya negeri menuduh ahli lembaga dan eksekutif syarikat berulang kali gagal mengambil langkah mencukupi bagi melindungi kakitangan atau membendung perlakuan Weinstein, walaupun pelbagai aduan dikemukakan kepada bahagian sumber manusia.

Bapa lima anak yang pernah berkahwin dua kali itu sedang disiasat polis British dan Amerika Syarikat (AS) namun belum didakwa atas sebarang tuduhan jenayah.

Dia menafikan melakukan hubungan seks tanpa kerelaan dan dilaporkan sedang menjalani rawatan ketagihan seks. -AFP

235 dibaca
Berita Harian X