Ahad, 11 Februari 2018 | 4:08pm
LIMA orang termasuk seorang penembak maut dalam insiden tembakan di dua lokasi di timur laut Kentucky, semalam. - Foto hiasan

5 maut insiden tembakan di Amerika Syarikat

KENTUCKY: Lima orang termasuk seorang penembak maut dalam insiden tembakan di dua lokasi di timur laut Kentucky, semalam.

Syerif daerah Johnson, Dwayne Price berkata, polis menerima panggilan kecemasan pada jam 4.00 petang (waktu tempatan) semalam mengenai insiden tembakan di sebuah kediaman berhampiran Paintsville.

Katanya, anggota yang dikerahkan ke tempat kejadian menemui dua mayat sebelum memburu penembak itu.

Panggilan kecemasan kedua membawa polis ke sebuah apartmen di Paintsville di mana tiga lagi mayat ditemui ditembak mati termasuk penembak berkenaan.

"Saya tidak dapat menggambarkan perasaan kami melihat empat kematian akibat perbuatan seorang lelaki. Sejak 34 tahun bertugas, ini antara kejadian keganasan paling teruk pernah saya saksikan," katanya.

Pihak berkuasa mengenal pasti penembak sebagai Joseph Nickell, manakala identiti mangsa belum didedahkan.

Kejadian itu berlaku tiga minggu selepas insiden tembakan di sebuah sekolah tinggi di Benton, Kentucky yang meragut nyawa dua pelajar serta mencederakan 18 mangsa lain akibat perbuatan rakan mereka. - Reuters

331 dibaca
Berita Harian X