Ahad, 14 Januari 2018 | 11:22am
DONALD Trump. - Foto REUTERS

Peguam Trump urus bayaran tutup mulut bintang porno

WASHINGTON: Peguam peribadi Presiden Donald Trump menguruskan bayaran berjumlah AS$130,000 (RM517,063.08) kepada seorang bekas bintang lucah sebelum pilihan raya 2016 bagi menghalangnya mendedahkan salah laku seksual pemimpin Amerika Syarikat (AS) itu, lapor akhbar The Wall Street Journal kelmarin.

Seorang pegawai Rumah Putih menafikan laporan di mana wanita dimaksudkan, Stephanie Clifford berkata, dia bertemu Trump dalam satu acara golf selebriti pada 2006, setahun selepas berkahwin dengan Melania.

Clifford atau nama pentasnya, Stormy Daniels, berkata, pertemuan itu berlaku beberapa ketika selepas itu, lapor akhbar, memetik sumber.

Peguam Trump, Michael Cohen menjadi orang tengah membuat pembayaran itu pada Oktober 2016, sebulan sebelum pilihan raya, di bawah perjanjian yang termasuk butiran tidak didedahkan, kata sumber.

"Ini adalah laporan lama yang dikitar semula, yang diterbitkan dan dinafikan sebelum pilihan raya," kata seorang pegawai Rumah Putih.

Ketika kempen Presiden, satu pita video muncul mengenai Trump berbangga beliau boleh sewenang-wenangnya mencabul wanita tanpa didakwa.

Beberapa wanita menuduh pemimpin berusia 71 tahun itu melakukan salah laku seksual.

Trump menafikan semua tuduhan sebagai pembohongan dan malah mendakwa, ulasan pita itu dipalsukan.

Namun, bekas hos 'Access Hollywood', Billy Bush berkata, beliau dan tujuh yang lain menyaksikan Trump mengeluarkan kenyataan lucah itu. - AFP

6414 dibaca
Berita Harian X