Ahad, 14 Januari 2018 | 8:11am
ANGGOTA Bomba tempatan membantu mencari mangsa. - Foto REUTERS

7 masih hilang dalam banjir lumpur California

MONTECITO, California: Pihak berkuasa California menggesa orang ramai membantu mengesan tujuh yang masih hilang selepas banjir lumpur mengorbankan sekurang-kurangnya 18 orang ketika penyelamat berusaha mencari mangsa semalam.

Pejabat Sherif Daerah Santa Barbara membuat rayuan untuk sebarang maklumat mengenai mana-mana penduduk yang hilang, sambil mengakui menemui sesiapa yang masih hidup adalah satu 'keajaiban.'

"Individu hilang dilaporkan anggota keluarga dan rakan serta tinggal di kawasan terjejas teruk ketika ribut dan banjir lumpur berikutnya," kata jurucakap pejabat Sherif.

Pejabat berkenaan menyenaraikan nama mangsa yang hilang, berusia antara dua hingga 62 tahun, kata kenyataan malam kelmarin.

Bencana berlaku Selasa lalu selepas hujan lebat menenggelamkan kawasan berhampiran di sini, terletak di utara Los Angeles di mana tumbuhan musnah akibat kebakaran hutan besar dalam sejarah California.

Kawasan kemusnahan meliputi 78 kilometer persegi dan lebih 2,100 kakitangan tempatan dan persekutuan termasuk Pengawal Pantai Amerika Syarikat (AS), tentera laut dan Palang Merah AS terbabit dalam usaha pencarian, pemulihan dan bantuan mencabar, kata Jabatan Perhutanan dan Perlindungan Kebakaran California (CalFire). - Reuters

211 dibaca
Berita Harian X