Ahad, 14 Januari 2018 | 7:03am
SATU amaran menerusi telefon bimbit mengenai serangan peluru berpandu balistik adalah 'palsu'.

Amaran salah serangan peluru berpandu gegar Hawaii

HONOLULU: Pihak berkuasa Hawaii mengesahkan semalam, satu amaran menerusi telefon bimbit mengenai serangan peluru berpandu balistik adalah 'palsu'.

Namun, mesej itu menggusarkan penduduk dan mencetuskan kekeliruan di seluruh negeri Amerika Syarikat (AS) terbabit.

Amaran kecemasan yang menggesa penduduk Hawaii segera berlindung itu muncul beberapa bulan selepas ketegangan meningkat antara Washington dan Pyongyang, dengan Korea Utara berkata, ia berjaya menguji peluru berpandu balistik yang boleh membawa kepala peledak nuklear ke AS, termasuk rangkaian kepulauan gunung berapi itu.

"Tiada ancaman peluru berpandu di Hawaii," Agensi Pengurusan Kecemasan (EMA) Hawaii segera menulis tweet, ketika media sosial huru hara dengan gambar skrin mengenai amaran kecemasan itu di telefon bimbit.

Jurucakap tentera AS, David Benham berkata, Pusat Arahan Pasifik 'tidak mengesan sebarang ancaman peluru berpandu balistik ke Hawaii. Mesej terdahulu dihantar secara salah.'

Amaran itu, muncul dalam Sistem Amaran Kecemasan digunakan pihak berkuasa seluruh negara untuk menghantar maklumat kecemasan penting ditulis: "NCAMAN PELURU BERPANDU BALISTIK MENUJU KE ARAH HAWAII. SEGERA BERLINDUNG. INI BUKAN SATU LATIHAN."

Mesej yang betul menyatakan; 'tiada ancaman peluru berpandu atau bahaya kepada Hawaii', tidak dihantar ke telefon bimbit sehingga 40 minit kemudian.

Gabenor David Ige akan bertemu pegawai kanan Jabatan Pertahanan dan EMA negeri untuk membincangkan mengapa mesej salah, yang turut disiarkan di sesetengah televisyen tempatan, dihantar. -AFP

1252 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »