Jumaat, 12 Januari 2018 | 7:16pm
Timbalan Setiausaha Agung ANC, Jessie Duarte.

PBB selar kenyataan Trump

GENEVA: Pejabat hak asasi manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), hari ini menyelar kenyataan dibuat Presiden Donald Trump mengenai pendatang dari Afrika dan Haiti, menyifatkan ia 'mengejutkan dan memalukan' serta berunsurkan rasis.

Kelmarin, Trump mempersoalkan mengapa Amerika Syarikat perlu menerima pendatang dari Haiti dan Afrika, merujuk ia sebagai 'negara amat teruk', menurut dua sumber.

"Tiada perkataan lain lagi untuk menggambarkannya, cuma rasis.

"Anda tidak boleh menyelar seluruh negara dan benua sebagai 'amat teruk', yang seluruh penduduknya bukan berkulit putih, tidak dialu-alukan," kata jurucakap hak asasi manusia PBB, Rupert Colville.

Sementara itu di Afrika Selatan, pegawai kanan Parti Kongres Kebangsaan Afrika (ANC), hari ini berkata kenyataan Trump itu satu penghinaan besar kepada negara berkenaan.

"Negara kami bukan seperti dinyatakan, begitu juga Haiti atau negara lain," kata Timbalan Setiausaha Agung ANC, Jessie Duarte, pada sidang akhbar di wilayah Eastern Cape di Afrika Selatan. - Reuters

1151 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »