Isnin, 9 Oktober 2017 | 7:11am
Bangunan kedutaan Turki di Washington.

Turki bertindak balas terhadap AS

WASHINGTON: Turki menghentikan serta-merta semua perkhidmatan visa untuk rakyat Amerika Syarikat (AS) sebagai membalas tindakan sama Washington.

"Keputusan itu memaksa kerajaan Turki menilai semula komitmen kerajaan AS terhadap keselamatan bangunan dan kakitangan Turki," kata satu kenyataan yang dimuat naik menerusi akaun Twitter kedutaan Turki di Washington.

Menurut kenyataan itu, dalam usaha mengurangkan jumlah pelawat ke bangunan diplomat dan konsular di AS sementara penilaian diteruskan, penggantungan serta-merta dilakukan terhadap semua perkhidmatan visa rakyat AS.

Sekatan Turki lebih keras berbanding langkah AS menggantung proses visa 'bukan pendatang', kategori khusus yang mempunyai kaitan dengan pelancongan, rawatan perubatan, perniagaan, bekerja sementara atau belajar.

Perkhidmatan visa pendatang hanya untuk mereka yang bercadang menetap terus di AS. - AFP

12410 dibaca
Berita Harian X