Rabu, 4 Oktober 2017 | 7:49am
SHERIFF Las Vegas, Joseph Lombardo. - Foto EPA
ORANG awam di sudut khas bagi mengenang mangsa yang terkorban dalam pembunuhan beramai-ramai di Las Vegas, Nevada, Ahad lalu. - Foto AFP
ANGGOTA FBI membuat siasatan susulan insiden tembakan di Las Vegas. - Foto AFP

Polis siasat nota tulisan tangan, kamera

LAS VEGAS: Sheriff Las Vegas, Joseph Lombardo, berkata siasatan yang dijalankan di bilik penginapan suspek di tingkat 32, Hotel Mandalay Bay berjaya menemui beberapa kamera litar tertutup, termasuk bagi memantau pergerakan di koridor.

Pada masa sama, katanya, pihaknya turut menyiasat gambar bahagian dalam dan luar bilik yang disiarkan oleh stesen televisyen Boston 25 dan akhbar Jerman, Bild.

Antaranya yang memaparkan imej suspek, Stephen Paddock bersama dua senapang yang dipasang pada bipod dan terdapat nota tulisan tangan berada di atas meja berhampiran kakinya.

Selain itu, terdapat beberapa gambar yang menunjukkan timbunan peluru dan lain-lain senjata di atas sebuah kerusi rehat.

Lombardo berkata, insiden tembakan dari tingkap bilik penginapan Paddock ke arah kira-kira 22,000 pengunjung konsert pada Ahad lalu, secara keseluruhannya mengambil masa selama sembilan minit.

Setakat ini, 59 penonton disahkan maut, manakala 500 lagi dilaporkan cedera dan mereka kini dirawat di hospital.

Beliau berkata, motif serangan mendorong suspek yang memiliki beberapa hartanah itu masih belum dikenal pasti.

Paddock dilaporkan tidak mempunyai kaitan dengan mana-mana kumpulan politik dan radikal.

Sementara itu, di Mesquite, jiran suspek, Rod Sweningson, menyatakan rasa terkejut dengan insiden itu.

"Saya tidak menyedarinya sehinggalah saya menonton siaran berita yang mendedahkan bahawa 'orang gila' itu tinggal di sini," kata Sweningson yang tinggal beberapa meter dari banglo milik Paddock.

Sweningson turut menggambarkan Mesquite yang didiami kurang 20,000 penduduk sebagai sebuah pekan kecil yang tenang dan keselamatan bukan menjadi isu yang besar.

"Kami tidak pernah berfikir untuk mengunci pintu rumah. Kami tidak sangka kami tinggal berhampiran dengan 'orang gila'," katanya. - AFP

2391 dibaca
Berita Harian X