Selasa, 12 September 2017 | 9:49am

Pakar ramal kebangkitan semula Al-Qaeda

WASHINGTON: Gerakan Al-Qaeda bangkit semula dan akan membayangi militan Daesh di Syria, selepas 16 tahun lalu menggegarkan Amerika Syarikat (AS) dalam serangan 11 September 2001, kata pakar.

Kumpulan Hayat Tahrir al-Sham (HTS) militan Sunnah yang menawan bandar Idlib, kawasan di utara Syria dikatakan penjenamaan semula Al-Qaeda yang berpendirian lebih sederhana berbanding Daesh untuk bangkit semula.

"Daesh mungkin ancaman utama hari ini tetapi Al-Qaeda di Syria sangat membimbangkan. Ia adalah rangkaian global terbesar Al-Qaeda ketika ini," kata Pengarah Anti-Pengganas Rumah Putih, Joshua Geltzer.

Geltzer dan beberapa pakar ketika membincangkan ancaman terkini pengganas terhadap Amerika Syarikat (AS) ketika pembentangan laporan New Amerika di hadapan kumpulan pemikir, mereka menjangkakan HTS bakal menonjol ketika Daesh dan militan lain kehilangan wilayah di Syria dan Iraq.

"Organisasi itu sendiri seolah-olah memiliki jangka hayat yang lama berbanding kucing," kata penulis bersama laporan New America ancaman semasa militan, Daveed Gartenstein-Ross.

Ross menyifatkan Al-Qaeda sebuah organisasi yang lebih kuat berbanding pada 2010, ketika kejatuhannya hingga memberi laluan kepada militan Daesh.

"Ia sangat mahir memainkan peranan berbanding Daesh hingga menampakkan seolah-olah ia adalah sebuah organisasi yang diibaratkan individu yang tidak disukai tetapi boleh berurusan," katanya.

Walaupun kepimpinan Ayman al-Zawahiri ketika ini dianggap lemah dan tidak memuaskan tetapi pemimpin muda di Idlib mempelajari kaedah yang digunakan Daesh menguasai penggunaan media sosial untuk menarik pengikut. - AFP

1194 dibaca
Berita Harian X