Sabtu, 12 Ogos 2017 | 7:26am

9 tentera kanak-kanak diselamatkan

NEW YORK: Sembilan tentera kanak-kanak diserahkan kepada pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di bandar Kidal, Mali, semalam, iaitu wilayah yang dikuasai kumpulan bekas pemberontak.

"Berita baik daripada rakan sejawatan yang menyertai misi pengaman di Mali. Sembilan tentera kanak-kanak diserahkan kepada misi PBB di Kidal.

"Anggota pengaman sedang menguruskan pengangkutan mereka ke Gao, manakala pegawai perlindungan kanak-kanak mengendalikan urusan kebajikan sementara menunggu mereka disatukan dengan keluarga masing-masing," kata jurucakap PBB, Stephane Dujarric, kepada wartawan tanpa mendedahkan umur kanak-kanak terbabit.

Sumber yang rapat dengan misi PBB di Mali memberitahu AFP, kanak-kanak itu berusia 15 tahun hingga 17 tahun dan beberapa orang daripada mereka menunjukkan tanda trauma.

Sementara itu, Persatuan Hak Asasi Manusia Mali (AMDH) meminta 'penyiasatan menyeluruh' bagi mengenal pasti kumpulan bersenjata yang menggunakan kanak-kanak sebagai tentera dan mendesak pesalah didakwa dengan segera. - AFP

Berita Harian X