Jumaat, 11 Ogos 2017 | 10:16am

9 banduan maut rusuhan dalam penjara

MEXICO CITY: Sembilan banduan terbunuh selepas dua kumpulan saling bermusuhan bertempur di sebuah penjara di Mexico.

Kenyataan kerajaan negeri menyebut, rusuhan berlaku di penjara Reynosa, sebuah bandar dekat sempadan Amerika Syarikat (AS) di negeri timur laut Tamaulipas.

"Dua kumpulan banduan yang terbabit dalam pertempuran, menggunakan senjata seperti belantan, batu dan batang kayu," kata kenyataan itu.

Difahamkan rusuhan berlaku pada hari lawatan, dan pengawal 'menumpukan usaha untuk melindungi keluarga banduan', katanya.

Penjara Mexico yang sesak sering menyaksikan rusuhan, pembunuhan balas dendam dan lari dari penjara. Kumpulan yang paling berkuasa sering menjadi de facto di dalamnya.

Bulan lalu, 28 penghuni mati ditetak musuh mereka di penjara Acapulco, sebuah bandar peranginan di pantai Pasifik Mexico.

Sistem penjara di Tamaulipas, sebuah negeri yang dilanda keganasan perang kartel dadah, sudah dua kali menjadi tajuk utama akhbar tahun ini. - AFP

337 dibaca
Berita Harian X