Jumaat, 11 Ogos 2017 | 9:38am
TAYLOR Swift. - Foto AFP

Mimpi ngeri Taylor Swift

DENVER: Penyanyi dan penulis lagu yang pernah memenangi anugerah Grammy, Taylor Swift, membuat pengakuan punggungnya diramas secara sengaja dan lama oleh seorang DJ dalam satu sesi penggambaran empat tahun lalu.

Penyanyi pop berusia 27 tahun itu memberi keterangan buat pertama kali bagi membolehkan juri di Mahkamah Daerah Amerika Syarikat (AS) menilai dakwaan terhadap David Mueller yang didakwa meramas punggungnya dalam satu majlis bersama peminat pada 2013.

Mueller yang dipercayai mabuk ketika berbuat demikian, mendakwa tuduhan Swift itu tidak benar dan membuatkan beliau dipecat majikan.

Swift, antara artis rakaman paling terkenal di AS, terpaksa memberi kenyataan itu selepas disoal peguam bela Mueller, Gabriel McFarland.

Penyanyi itu beberapa kali berkata: "Anak guam anda meramas punggung saya."

Pada satu ketika, Swift menyifatkan perbuatan Mueller sebagai keji dan tidak bermoral.

"Ia adalah satu ramasan yang sangat lama. Ia dilakukan dengan sengaja. Beliau berada hampir dengan punggung saya dan saya dapat rasa tangannya menyelinap ke dalam skirt (dan meramas punggung)," katanya.

Mueller, 55, dalam keterangan Selasa lalu mendakwa mungkin terpegang punggung penyanyi terbabit secara tidak sengaja tetapi menafikan perbuatan tidak sopan.

Ditanya sama ada beliau meramas punggung Swift, bekas DJ stesen radio KYGO-FM itu membalas: "Tidak, saya tidak berbuat demikian." - Reuters

4774 dibaca
Berita Harian X