Khamis, 11 Oktober 2018 | 4:31pm
WASHINGTON pernah bekerjasama dengan kerajaan Liberia mengenai ketelusan kewangan dan isu urus tadbir sebelum ini. - Foto fail Reuters

Liberia hilang tunai baru cetak RM415.6 juta

MONROVIA: Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Liberia semalam mendedahkan bahawa ia telah meminta penyiasat melakukan siasatan ke atas kemungkinan hilangnya wang tunai baru cetak negara Afrika Barat miskin itu yang bernilai AS$100 juta (RM415.6 juta).

Skandal mata wang itu mencetuskan kemarahan dan kekeliruan di Liberia di mana Bank Pusatnya menafikan laporan oleh Menteri Penerangan bahawa wang tunai itu yang nilainya bersamaan 5 peratus keluaran dalam negara kasar, telah hilang sejak setahun lalu.

September lalu, pihak berkuasa memberitahu bahawa ia meminta bantuan AS dalam menyiasat di mana wang tunai itu mungkin berada.

Washington pernah bekerjasama dengan kerajaan Liberia mengenai ketelusan kewangan dan isu urus tadbir sebelum ini.

Dalam satu kenyataan, kedutaan AS menyatakan, ia telah meminta firma yang membuat pengkhususan mengenai siasatan forensik untuk menentukan fakta kes dan memutuskan sama ada wujud keperluan untuk memperluas misi.

“Laporan seperti itu akan menjadi cara paling berkesan dan sahih untuk menentukan skala masalah dengan segera,” katanya sambil menekankan bahawa keputusan siasatan akan didedahkan kepada umum.

“Kami meminta semua rakyat Liberia terus bersabar,” katanya lagi.

Skandal itu memberi masalah terbesar kepada Presiden George Weah sejak beliau mengambil alih kuasa pada Januari lalu.

Weah mengarahkan siasatan itu dijalankan dan lebih 30 bekas pegawai bank dilarang meninggalkan negara itu.

Awal bulan ini, gabenor bank pusatnya,Nathaniel Patray, berkata satu siasatan audit dalaman mendapati semua wang kertas yang dihantar dari pencetak Sweden di antara 2016 dan 2018 tidak dikira dengan baik dan disimpan dalam peti simpanan tambahan bank. - Reuters

637 dibaca
Berita Harian X