Ahad, 7 Oktober 2018 | 8:24am
Pekerja kesihatan bersiap untuk merawat pesakit Ebola yang di Hospital Bikoro, pusat wabak terbaru di Republik Demokratik Congo. - Foto unicef.org

Lima kes Ebola dikesan di timur Congo

KINSHASA: Kementerian Kesihatan Republik Demokratik Congo berkata, sebanyak lima kes disahkan Ebola dilaporkan di timur negara itu, akibat keengganan penduduk membantu usaha menangani penyakit berkenaan.

Menurut buletin harian kementerian, sebanyak 140 kes disahkan Ebola dicatatkan di wilayah Ituri dan Kivu Utara sejak Julai lalu dan daripada jumlah itu, 108 mangsa dilaporkan maut.

“Secara puratanya sebanyak satu atau dua kes dilaporkan di wilayah itu dalam tempoh beberapa minggu lalu,” kata kementerian.

Kementerian berkata, lima kes yang baru direkodkan itu dikesan di hab wilayah Beni.

Serangan kumpulan pemberontak dan keengganan penduduk bekerjasama dengan kempen menangani Ebola di wilayah itu, menyebabkan pelbagai program pemvaksinan dan rawatan terjejas.

“Ketika ini, jangkitan Ebola tertumpu di Beni, selepas berlaku peningkatan kes sejak beberapa minggu kebelakangan ini, berikutan keengganan beberapa keluarga bekerjasama dalam program pembasmian yang dilaksanakan,” katanya dalam satu kenyataan. - Reuters

154 dibaca
Berita Harian X