Khamis, 4 Oktober 2018 | 9:31pm

Ibu positif HIV derma hati untuk selamatkan anak perempuan

JOHANNESBURG: Sekumpulan doktor di Afrika Selatan berjaya mencatat sejarah berikutan kejayaan pembedahan pemindahan sebahagian hati membabitkan pasangan ibu yang positif HIV kepada anaknya, yang negatif HIV.

Berita mengenai kejayaan pembedahan itu diumumkan hari ini.

Menurut sekumpulan doktor dari Universiti Witwatersrand di Johannesburg, kanak-kanak terbabit dijangka tidak akan dijangkiti virus daripada hati barunya itu dan keputusan yang lebih tepat akan diperoleh dalam tempoh setahun selepas pembedahan berlangsung.

Kanak-kanak itu yang menghidapi penyakit hati serius yang boleh membawa maut jika tidak menjalani pembedahan pemindahan hati dengan segera.

“Ubat-ubatan yang diberikan kepada kanak-kanak itu dijangka mampu menghalangnya daripada dijangkiti HIV.

“Namun, kita hanya mengetahui perkara itu dengan tepat selepas tempoh tertentu,” kata ketua pakar bedah di universiti itu, Jean Botha.

Pembedahan pertama di dunia membabitkan pemindahan hati antara ibu, pengidap HIV kepada anaknya yang sakit tenat tetapi negatif HIV, dibuat selepas kanak-kanak itu terpaksa menunggu selama 180 hari untuk mendapatkan penderma.

Pada masa sama, mereka berkata, ibu dan anak perempuannya yang identitinya tidak didedahkan itu kini berada dalam sihat dan sudah pulih sepenuhnya.

Sebelum menjalani pembedahan berkenaan, ibu terbabit yang sedang menjalani rawatan antiretrovirus, berulang kali meminta supaya beliau dibenarkan mendermakan sebahagian hatinya untuk menyelamatkan nyawa anak perempuannya.

Permintaan wanita itu dilaporkan menimbulkan dilema dalam kalangan doktor yang merawat mereka, kerana bimbang mengenai risiko jangkitan HIV.

Dalam pada itu, pemindahan hati daripada penderma positif HIV dijangka mampu mengatasi masalah kekurangan penderma di Afrika Selatan yang mempunyai program rawatan HIV terbesar di dunia.

Tahun lalu, seramai 14 kanak-kanak di Johannesburg meninggal dunia ketika sedang menunggu giliran untuk pemindahan hati, sebelum menjalani pembedahan itu.

“Kami berharap pembedahan yang mencatatkan sejarah ini akan menjadi permulaan kepada pembedahan lain pada masa akan datang.

“Ia sekali gus menyumbang kepada usaha mewujudkan keadilan serta kesamarataan dalam pembedahan pemindahan hati,” kata pengarah penyelidikan pusat perubatan universiti itu, June Fabian dalam satu kenyataan akhbar.

Sementara itu, maklumat lengkap mengenai pembedahan itu sudah diterbitkan hari ini, dalam jurnal perubatan AIDS. - AFP

282 dibaca
Berita Harian X