Ahad, 30 September 2018 | 9:18pm
ANAK singa, Victor dan Isabel, lahir 25 Ogos lalu dalam keadaan sihat dan normal. - Foto AFP

Anak singa Afrika lahir hasil permanian berhadas

BRITS: Memerhatikan dua ekor anak singa kecil bermain antara satu sama lain di sebuah pusat pemuliharaan di luar ibu kota Afrika Selatan di Pretoria, agak sukar melihat apa-apa yang luar biasa. Namun anak singa itu agak unik.

“Ini adalah anak singa pertama seumpamanya lahir menggunakan kaedah permanian berhadas, pasangan pertama di dunia,” umum Universiti Pretoria, yang mana saintisnya menjalankan penyelidikan sistem reproduktif singa betina Afrika.

Dua anak singa itu, jantan dan betina, lahir 25 Ogos lalu dalam keadaan sihat dan normal, kata Pengarah Institut Penyelidikan Mamalia Universiti Pretoria, Andre Ganswindt.

Penemuan pasukannya berhasil selepas 18 bulan melakukan percubaan intensif.

“Kami mengutip sperma daripada seekor singa sihat. Kemudian, apabila paras hormon singa betina didapati sesuai, ia menjalani kaedah permanian berhadas.

“Kami amat bertuah ia berjaya,” kata Ganswindt, menambah ada beberapa cubaan dilakukan namun mengejutkan tidak banyak usaha perlu dilakukan.

Katanya, penemuan itu boleh diulangi dengan saintis berharap teknik itu dapat digunakan untuk menyelamatkan kucing besar lain yang terancam.

Singa mengalami kepupusan di 26 negara Afrika dan jumlahnya dalam hutan menurun 43 peratus sejak dua dekad lalu dengan hanya 20,000 masih hidup, menurut Kesatuan Pemuliharaan Alam Semula Jadi Antarabangsa (IUCN) yang menyenaraikan singa Afrika sebagai terdedah bahaya.

“Jika kami tidak melakukan sesuatu mengenainya, mereka akan berdepan kepupusan,” kata Ganswindt. - AFP

744 dibaca
Berita Harian X