Khamis, 13 September 2018 | 10:06am

20 maut bukit timpa kampung

KHARTOUM: Sekurang-kurangnya 20 maut di Darfur selepas bukit menimpa perkampungan mereka susulan hujan lebat, kata kumpulan pemberontak semalam.

Beberapa lagi dikhuatiri tertimbus apabila batu besar menghempap rumah mereka di pergunungan Jebel Marra di Darfur pada 7 September lalu.

Kawasan terpencil itu berada dalam kawalan Tentera Pembebasan Sudan-Abdul Wahid (SLA-AW), dan mendapatkan maklumat bebas adalah sukar.

“Pada 7 September, sebahagian bukit runtuh ke atas sebuah kampung di timur Jebel Marra, membunuh sekurang-kurangnya 20 orang.

“Puluhan lagi masih tertimbus di bawah runtuhan. Seluruh kampung musnah,” kata jurucakap SLA-AW, Mohamed El-Naier, menambah mereka yang terselamat kini tinggal di tempat terbuka tanpa sebarang perlindungan.

Angka kematian disahkan majlis syura puak Fur, yang terbesar di Darfur.

“Kami menggesa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), pertubuhan bukan kerajaan dan kerajaan membantu kami mencari mereka yang hilang dan memberikan perlindungan kepada penduduk yang tinggal di tempat terbuka,” kata setiausaha agung majlis itu, Amin Mahmud Osman. — AFP

226 dibaca
Berita Harian X